Sokratis Papastathopoulos menegaskan bahawa Arsenal yakin akan menembusi kelompok empat pasukan teratas dan mereka kini hanya mencapai tahap "70 hingga 80 peratus" potensi sebenar di bawah bimbingan Unai Emery.

Kemenangan 2-1 di Bournemouth hujung minggu lalu melebarkan rekod tanpa kalah The Gunners dalam semua pertandingan kepada 17 perlawanan.

Anak buah Emery telah menyamai rekod empat kemenangan di tempat lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dan kini hanya satu mata di belakang slot Liga Juara-Juara (UCL).

Rombakan kepada tiga pemain pertahanan di Stadium Vitality mencadangkan Emery masih bereksperimen dengan formula untuk mendapatkan gandingan terbaik pasukannya.

"Kami masih sekitar 70 hingga 80 peratus (mengenai potensi sebenar kami)," ujar pertahanan Greece, Sokratis, kepada wartawan.

"Sudah tentu kami perlu terus memperbaiki permainan, tentu saja kami ingin meletakkan Arsenal dalam pasukan teratas Liga Perdana. Setiap hari kami cuba untuk ke arah itu.

"Kami perlu memperbaiki permainan kami, misalnya tidak kehilangan bola atau lebih bijak memanfaatkan ruang dan menjaringkan gol.

"Itulah perbezaannya. Kami perlu tingkatkan permainan dan kami sedar mengenainya. Kami bekerja keras setiap hari dan saya gembira. Saya merupakan sebahagian daripada pasukan yang bekerja dengan baik bersama-sama," tambahnya.

Barisan kendalian Emery itu berpeluang untuk menyamai 30 mata dengan pasukan di tangga ketiga, Tottenham, apabila mereka bakal menjadi tuan rumah bagi aksi 'derby' utara London di Stadium Emirates, Ahad ini.

Bagaimanapun, Sokratis menolak tanggapan perlawanan itu boleh menjadi penentu buat Arsenal untuk menembusi dan kekal dalam kelompok empat pasukan teratas.

"Sudah tentu ia akan menjadi permainan yang sangat penting tetapi saya tidak fikir ia adalah satu perlawanan yang boleh memberi anda tempat dalam UCL," katanya.

"Sebagai contoh, jika kami menang menentang Tottenham dan kalah dalam permainan lain, ia adalah perkara yang sama. Adalah sangat penting untuk kami cuba menang dalam setiap perlawanan.

"Kami mempunyai keyakinan (mampu memasuki kelompok empat pasukan teratas) tetapi ia tidak mudah, kita semua tahu tentang itu."