Arnautovic dedah mengapa dapat jam daripada Mourinho

Oleh Penulis Jemputan 20 Oktober 2017 7708
Arnautovic dedah mengapa dapat jam daripada Mourinho
Penyerang West Ham, Marko Arnautovic, berkata Jose Mourinho memberi jam tangannya selepas dia muncul di pusat latihan awal di Inter Milan demi mengelakkan konfrontasi lain dengan pengurus itu.

Pemain antarabangsa Austria itu mengalami tempoh yang sukar ketika dipinjamkan di San Siro pada tahun terakhir kendalian pengurus Portugis itu, apabila hanya membuat tiga penampilan dalam Serie A ketika Nerazzurri memenangi tiga gelaran.

Mourinho kemudian menyifatkan Arnautovic sebagai pemain yang hebat dengan sikap kebudak-budakan dan kelab itu menolak pilihan untuk menandatanganinya secara kekal daripada FC Twente, sekaligus membolehkannya menyertai Werder Bremen.

Arnautovic tetap menyimpan memori bersama Mourinho yang berpunca daripada selepas dia terdesak untuk menghindari masalah ketepatan masa pada pra-musim.

"Kami berada di Abu Dhabi untuk pra-musim dengan Inter pada 2009," katanya kepada The Daily Mail. "Saya terlambat untuk sarapan pagi. Ia kesalahan nombor satu.

"Kemudian dalam mesyuarat pasukan... Hotel yang kami menginap adalah besar dan bilik saya berada di tingkat 75. Saya menunggu lif dan saya tekan dan saya tekan lagi tetapi masih ada tujuh minit, jadi saya bersikap santai sahaja. Namun, saya tetap terlewat. Ia bencana nombor dua. 

"Kemudian, sebelum perlawanan, ia berlaku lagi dan saya seperti: 'Dia akan membunuh saya'. Jadi, kami berbalah sedikit dan saya tersisih daripada pasukan hari itu, saya berlatih sendirian.

"Kembali ke Milan, saya fikir kami akan berlatih pada waktu pagi dan sebaik saya tiba, tidak ada kereta di sana.

"Mourinho ada di sana dengan kakitangannya dan dia berdiri dan mula bertepuk tangan dan ketawa, dia berkata: 'Kamu adalah orangnya, kamu tiba awal lima jam sebelum latihan. Saya sukakan anda, mari ke sini, ambil jam tangan saya. Ia masih dalam simpanan di rumah saya," katanya.

Arnautovic mengalami hubungan yang sukar dengan kakitangan dan rakan sepasukan di Bremen sebelum dilepaskan ke Stoke City pada 2013 di mana dia berasa lebih bahagia. 

Pemain berusia 28 tahun itu yang berhijrah ke West Ham dengan yuran £28 juta (RM155j) dalam jendela perpindahan lalu, mengakui sikapnya sebagai pemain muda tidak membantu perkembangan kerjayanya tetapi mengatakan dia membuat keputusan penting untuk berpaling daripada kehidupan rakan-rakan baiknya dan fokus kepada bola sepak.

"Semua tempat menyisihkan saya," katanya mengenai hari remajanya. "Saya tidak kisah langsung dengan apa yang saya buat, saya tidak peduli dengan sesiapa atau mendengar kata sesiapa melainkan ibu bapa saya.

"Saya akan melawan jurulatih saya dan berkata: 'Siapa kamu untuk menjerit atau berteriak kepada saya? Adakah kamu ayah saya?" Bercakaplah dengan saya secara normal.'

"Di mana sahaja saya pergi, Rapid Wien atau Austria Wien, selalu ada masalah. seorang jurulatih pernah berkata: 'Hanya keluar bermain dan menang untuk kami'.

"Ibu bapa saya telah mencuba tetapi saya memilih cara lain. Saya gemar berada di jalanan, saya bukan samseng tetapi dua orang sahabat saya telah masuk penjara. Tidak ada yang terbunuh tetapi masalah jalanan dan masalah-masalah seumpama itu. 

"Apabila anda berada di jalanan, jika seseorang berjalan ke arah anda, lebih baik untuk tunduk ke bawah, tetapi kami selalu merenung mata mereka untuk mencetuskan sesuatu, jadi kami akan bertempur.

"Sesetengah daripada mereka mula merompak, saya gembira kerana saya tidak berjaya menjarakkan diri. Saya memberitahu mereka: 'Jangan pergi ke rumah atau kedai itu untuk merompak kerana anda akan berada di penjara'. Saya memberitahu mereka supaya mencari kerja dan mempunyai kehidupan yang baik.

"Bagaimanapun, usahlah membesar-besarkannya. Kebanyakan masa kami diluangkan di taman permainan untuk bermain bola sepak. Bola sepak adalah segala-galanya.

"Sekiranya saya terus menjadi orang seperti itu, saya tidak akan berada di sini sekarang, saya takut kerjaya dalam bola sepak tidak akan berlaku jika saya terus mengikut mereka. Saya tahu saya terpaksa pergi dan melihat beberapa perkara yang berbeza dan lebih tenang," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen