Pengendali West Ham United, Manuel Pellegrini, menjangkakan Felipe Anderson akan terus berkembang bagi menghadapi babak kedua Liga Perdana Inggeris musim ini.

Bintang Brazil itu menjaringkan dua gol hebat selepas rehat untuk memberikan kemenangan 2-1 ke atas Southampton dalam aksi awal pagi tadi.

Selepas beraksi dalam kesemua 19 perlawanan liga buat The Hammers, Anderson kini mengutip lapan gol dan Pellegrini percaya bekas tonggak Lazio itu masih mampu untuk terus meningkat.

"Saya sering katakan bahawa Anderson tahu bagaimana cara untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris.

"Dalam setiap perlawanan, dia meningkat. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk seorang pemain tengah mencatat lapan jarinngan ketika pertengahan musim dan saya pasti dia akan meneruskan prestasi itu," kata Pellegrini.

Bagaimanapun, Pellegrini tidak pasti sama ada Anderson boleh dinamakan selaku pemain terbaik daripada pasukan di luar daripada enam pasukan teratas liga.

"Saya tidak tahu," tambah Pellegrini.

"Bagi saya, permainan berpasukan lebih penting dan Anderson memainkan peranannya dengan baik. Jadi, anda akan sentiasa memerlukan pemain berprestasi tinggi untuk menang."

Kemenangan awal pagi tadi meletakkan West Ham dalam kelompok 10 pasukan terbaik liga susulan lima kemenangan dalam enam aksi terakhir tatkala mereka mengharungi empat kekalahan dalam empat aksi pertama musim ini.

Namun, Pellegrini berpendapat anak buahnya perlu melihat perlawanan demi perlawanan untuk mengekalkan prestasi.

"Ia bergantung jika kami beraksi sebegini," tambah Pellegrini.

"Sebelum ini, saya pernah katakan perkara sama di mana kami tewas di laman sendiri di tangan Watford dan jika kami mampu meraih 27 mata, ia adalah aksi awal yang menarik," katanya.

Sementara itu, pengendali Southampton, Ralph Hasenhuttl, kecewa melihat pasukannya mudah ditewaskan tatkala mereka kini tiga mata daripada zon penyingkiran.

"Mereka tampak mudah untuk tewas dan seluruh pasukan tidak mempamerkan permainan menarik," ujarnya.

"Jika anda melakukan perkara sama seperti kami, anda tidak layak menang. Jaringan lawan sangat mudah untuk diraih."