Carlo Ancelotti menolak desas-desus bahawa James Rodriguez bakal meninggalkan Everton dengan menegaskan perancang itu "gembira" di kelab.

Sebuah laporan menunjukkan bahawa bintang Colombia itu, yang menyertai Everton daripada Real Madrid pada September tahun lalu, tidak berpuas hati dan berhasrat untuk beralih angin ke Atletico.

Begitupun, Ancelotti pantas mengetepikan perbincangan itu menjelang 'derby Merseyside' menentang Liverpool, awal pagi esok.

"Dia baik-baik saja, dia tidak mempunyai masalah. Saya bercakap dengannya setiap hari, dia gembira di sini, yakin dan bermotivasi," kata pengurus Everton itu dalam sidang akhbar.

"Dia mengalami sedikit masalah betis dalam beberapa perlawanan terakhir tetapi kini dia dalam keadaan baik. Dia benar-benar berasa seronok di sini kerana semua orang menjaganya dan itu saja.

"Saya tidak tahu apakah dia ada mengeluh tentang cuaca, tetapi cuaca di sini seperti yang kita tahu ia bukan cuaca terbaik tetapi ada banyak hal yang baik di daerah ini."


James telah menjaringkan lima gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam 17 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Tiada pemain The Toffees lain yang menciptakan peluang lebih banyak daripadanya iaitu 30 kali, 22 daripadanya dalam permainan terbuka selain lapan peluang terhidang.

Everton menghuni tangga ketujuh dan tiga mata di belakang Liverpool yang berada di kedudukan keenam dengan kelebihan satu perlawanan.