Carlo Ancelotti menegaskan Everton tidak Merancang untuk menjual Richarlison pada penghujung musim ini.

Pemain berusia 22 tahun itu dilaporkan telah menerima bidaan bernilai EURO100 juta (RM454 juta) daripada gergasi LaLiga, Barcelona, namun Everton dan The Blaugrana menafikan spekulasi itu.

Richarlison, yang menyertai Everton dengan yuran perpindahan mencecah GBP50 juta (RM270 juta) daripada Watford pada 2018, menjadi pemain berpengaruh The Toffees sejak tiba di Goodison Park.

Dia telah menjaringkan 14 gol dalam semua kejohanan pada musim pertamanya di sebalik pergelutan yang dihadapi Marco Silva sebelum dipecat dan 10 gol bagi musim ini.

Pengurus Everton, Ancelotti, melihat Richarlison sebagai kunci utama jentera serangan pasukannya, yang menandatangani kontrak jangka masa panjang Disember lalu sebelum Silva dipecat berikutan kekalahan 5-2 kepada Liverpool.

"Saya tidak berasakan ia sukar untuk ditentang kerana sudah cukup dengan berkata tidak," kata Ancelotti kepada wartawan apabila ditanya dengan kebarangkalian untuk menjual Richarlison.

"Tiada kebarangkalian kerana Richarlison adalah sebahagian daripada masa depan Everton seperti pemain-pemain muda yang kami miliki -- [Jordan] Pickford, [Mason] Holgate, [Moise] Kean dan [Dominic] Calvert-Lewin.

"Kami memiliki ramai pemain muda. Ia adalah asas kepada kelab untuk membina masa depan dan Richarlison juga sebahagian daripadanya.

"Segalanya boleh berlaku dalam bola sepak. Jika tawaran yang hadir sesuatu yang sukar untuk ditolak, dan tawaran itu adalah peluang untuk memperkuatkan skuad, jadi mengapa tidak? Tetapi Richarlison adalah pemain yang penting.

"Secara teknikal, dia mampu mempertingkatkan lagi mutu permainannya. Dia merupakan seorang penyerang yang lengkap, pantas dan mampu menanduk bola dengan baik."

Ancelotti turut mengesahkan Andre Gomes -- yang diketepikan sejak November lalu selepas mengalami kecederaan buku lali sejak berdepan Tottenham -- dijangka berdepan Arsenal, 23 Februari ini selepas kembali menjalani latihan.



Editor: Ammar Hakim