Anak saya gelarnya 'Sonaldo' -- Mourinho 

Oleh Staff Writer 8 Disember 2019 5127
Anak saya gelarnya 'Sonaldo' -- Mourinho 
TOTTENHAM 5 BURNLEY 0 

Jose Mourinho membandingkan gol solo Son Heung-min dalam kemenangan 5-0 Tottenham ke atas Burnley mirip jaringan terkenal oleh legenda Brazil, Ronaldo.


Son melarikan bola dari jarak 18 ela kubu sendiri sebelum menggelecek beberapa pemain lawan dan melancarkan rembatan yang melepasi Nick Pope dalam separuh masa pertama untuk mencuri tumpuan dalam kemenangan itu tengah malam tadi. 

Larian deras dan penyudah berbisanya itu dianggap sebagai calon gol terbaik musim ini oleh bekas penyerang Tottenham, Gary Lineker, sementara Mourinho memnyamakan gerakan individu menakjubkan itu persis kelincahan bintang Barcelona masa lalu, Ronaldo, ketika menentang Compostela pada 1996.

Mourinho merupakan pembantu kepada pengurus Barca, Bobby Robson, ketika menjadi saksi kepada jaringan luar biasa berkenaan dan sejak itu, dia menyifatkan Ronaldo sebagai "pemain terbaik yang pernah saya lihat di atas padang".

Pengurus Tottenham tersebut mendedahkan bahawa Son sudah pun mempunyai gelaran baru di rumahnya menjelang pertemuan dengan Burnley itu. 

"Ia adalah satu jaringan yang luar biasa. Bahkan sebelum jaringan itu, anak saya sudah menggelarnya 'Sonaldo' kerana menyamakannya dengan Ronaldo Luis Nazario," kata Mourinho dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Satu-satunya perkara yang terlintas di minda saya sekarang ialah gol ketika saya diberi penghormatan untuk berada di samping Sir Bobby Robson apabila Ronaldo menjaringkan gol yang luar biasa itu.

"Dari luar, saya mempunyai perasaan itu. Saya teringat ketika bercakap dengan Sir Alex (Ferguson) mengenai Park Ji-sung. Mungkin ia adalah sesuatu yang berkaitan dengan kebudayaan. Pemain (Korea Selatan) sangat mudah dibimbing."

Harry Kane meledak dua gol ketika membelasah Burnley itu manakala Lucas Moura dan Moussa Sissoko turut mencetak nama selaku penjaring ketika Spurs melebarkan jaringan kepada 16 gol dalam lima perlawanan sejak diasuh Mourinho.

Empat daripada lima perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan tatkala Tottenham menghampiri kedudukan empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan enam mata selain sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) sebelum pertemuan dengan Bayern Munich pertengahan minggu depan. 

Mourinho merancang untuk merehatkan Kane menjelang kunjungan ke Bavaria itu sambil penyerang berusia 17 tahun, Troy Parrott, berkesempatan untuk membuat penampilan setelah muncul dalam aksi pertama liga sebagai pemain gantian ketika berdepan Burnley.

"Hari ini, dia bermain dalam Liga Perdana pada usia 17 tahun," kata Mourinho. 

"Adakah dia akan bermain menentang Bayern Munich? Saya tidak tahu. Apa yang saya boleh katakan ialah Harry Kane tidak akan beraksi, jadi kita akan lihat.

"Ini adalah hari yang sempurna buat kami -- tiada kecederaan, tidak dibolosi, jaringan dan mempamerkan permainan yang sempurna selain pemain muda diberi peluang beraksi dalam liga buat julung kalinya. Akhirnya, pemain saya akan diberi cuti esok memandangkan saya belum pernah berikan kepada mereka."

Pengurus Burnley, Sean Dyche, yang menyaksikan skuadnya tergelincir ke tangga ke-13 selepas kekalahan ketiga berturut-turut minggu lalu, mengakui pasukannya perlu berdepan realiti sebenar. 

"Kami kehilangan bola sebanyak lima kali lalu mereka menjaringkan lima gol," katanya kepada pemberita. 

"Ia bukan prestasi sebenar kami, apatah lagi ketika menentang sebuah pasukan yang baik seperti ini. Kami kerap kehilangan bola dan hari ini adalah hari yang sukar.

"Kami telah membuktikan bahawa kami mampu menentang pasukan seperti ini dan ini sesuatu yang janggal, jadi kami perlu menilainya kembali. 

"Kami tidak bermula dengan baik seperti yang diperlukan dan tempoh seminggu ini meletakkan kami ke realiti sebenar. Tetapi kami tahu ada jurang besar dalam liga ini apabila membabitkan pasukan besar, jadi bagi kami ketika ini, ia mengenai kemajuan dan peningkatan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen