Pemain tengah Manchester United, Jesse Lingard, percaya pergelutan yang dialami The Red Devils musim ini kerana mengambil mudah perlawanan berdepan pasukan bawahan liga.

United telah menewaskan Manchester City, Chelsea, Tottenham dan Leicester City, seri dengan pendahulu liga, Liverpool, dan Arsenal namun skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu masih lagi berada di tangga kelapan liga.

United bergelut ketika berdepan pasukan yang memilih untuk bertahan -- tewas kepada Crystal Palace, West Ham, Newcastle United, Bournemouth dan Watford.

United turut seri dengan Wolves, Southampton, Sheffield United, Aston Villa dan Everton, dan Lingard mempersoalkan tumpuan pasukan menjelang aksi sehari selepas Hari Krismas berdepan Newcastle.

"Ia sangat aneh," kata Lingard kepada Daily Mail. "Mungkin kami mengambil mudah perlawanan tersebut dan menganggap sudah memenanginya.

"Jika kami mengekalkan permainan konsisten dan mentaliti yang sama ketika mengatasi City dan Tottenham, kami mampu menang dalam setiap perlawanan.

"Apabila kami bermula dengan penuh bertenaga, kami mampu menghadirkan masalah kepada pasukan lawan."

Skuad kendalian Solskjaer itu, yang akan menerima kunjungan Newcastle di Old Trafford malam ini, ketinggalan tujuh mata di belakang Chelsea, penghuni tangga keempat liga.

United kini ketinggalan 24 mata di belakang musuh tradisi, Liverpool, selepas 18 perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).