Alonso mahu Chelsea bangkit

Oleh Penulis Jemputan 25 Disember 2017 420
Alonso mahu Chelsea bangkit
Marcos Alonso mahu Chelsea lebih klinikal untuk bangkit selepas seri tanpa jaringan dengan Everton kelmarin.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu mendominasi perlawanan di Goodison Park tetapi gagal untuk menyempurnakan peluang berdepan skuad bimbingan Sam Allardyce.

Keputusan itu, termasuk kemenangan 4-0 Manchester City ke atas Bournemouth, menyaksikan skuad kendalian Antonio Conte itu kini ketinggalan 16 mata selepas hanya tamat 19 perlawanan.

Alonso menegaskan ia adalah keputusan yang mengecewakan dan menggesa rakan sepasukannya untuk bangkit dalam aksi berdepan Brighton and Hove Albion.

"Kami tidak bernasib baik kerana tidak melakar kemenangan selepas mengawal perlawanan dan mempunyai banyak peluang," katanya.

"Meraih satu mata daripada perlawanan tersebut, ia amat mengecewakan.

"Kami menyedari cabarannya sukar kerana mereka bertahan dengan baik. Kami telah bermain dengan baik, cuma kurang klinikal," tambahnya.

Pertahanan, Antonio Rudiger, berasakan tuah tidak memihak Chelsea, yang menguasai 68 peratus perlawanan tersebut dan melepaskan 25 percubaan, tetapi mahu menamatkan tahun 2017 dengan kemenangan ke atas Brighton dan Stoke City.

"Ia amat mengecewakan kerana kami adalah pasukan yang lebih baik dan mempunyai lebih banyak peluang tetapi kami perlu akur terdapat hari yang harus kami tempuhi seperti ini," kata Rudiger.

"Anda boleh bermain dalam tempoh yang panjang dan gagal untuk meledak gol.

"Kami memerlukan tiga mata. Kami telah bermain dengan baik tetapi tuah tidak memihak kepada Chelsea," ujarnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen