FULHAM 0 TOTTENHAM 1

Jose Mourinho menghamburkan pujian terhadap kegigihan Dele Alli dalam beberapa minggu terakhir yang akhirnya membuahkan hasil ketika Tottenham membenam Fulham 1-0.


Alli muncul dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kedua musim ini yang menyaksikan pemain tengah itu bermain selama 67 minit sebelum memberi laluan kepada Moussa Sissoko.

Pemain antarabangsa England itu mencipta dua peluang dan melakukan satu percubaan tepat baik meneruskan kebangkitannya tatkala masa depannya di kelab berkenaan kelihatan dalam kesamaran.

Mourinho menjelaskan bahawa tempat dalam pasukan itu memang layak buat Alli dan bukannya sekadar "hadiah" di celah-celah jadual padat.

"Dia layak mendapatkannya.

"Ini bukan satu hadiah, ini adalah hasil kerja kerasnya sejak dia kembali ke pangkuan pasukan. Melalui kerja keras dan kegigihan 100 peratus bersama pasukan, ia melayakkan dan sedia untuk beraksi ," kata pengurus Tottenham itu kepada media.

"Dia menawarkan kami perkara-perkara penting. Dia beraksi dengan baik dalam Liga Europa. Dia beraksi dengan baik setiap minit di lapangan ketika menentang West Ham, Burnley, jadi dia memang berhak.

"Buat masa ini, kami memerlukan setiap pemain kerana bakal mengharungi jadual padat. Tentu saja kami memerlukannya. Kami tidak dapat mengubah struktur pasukan. Kami boleh mengubah dua atau tiga pemain, iaitu hari ini kami menurunkan Dele, Ben Davies dan Matt Doherty.

"Saya gembira dengan apa yang mereka sumbangkan kepada pasukan. Bagi Dele, adalah penting untuk mendapatkan rentak dalam permulaan EPL."



Alli turut terlibat dengan jaringan kemenangan itu walaupun kegagalannya menyudahkan dengan baik peluang tersebut sebelum gol sendiri terhasil oleh kesilapan Tosin Adarabioyo pada minit ke-19.

Fulham memiliki 60 peratus penguasaan permainan dengan 11 percubaan berbanding lawan, sembilan, dalam usaha menyamakan kedudukan, tetapi pelawat kental bertahan di Craven Cottage untuk kemenangan yang boleh meningkatkan lagi harapan kelab London itu untuk meraih kedudukan empat teratas.