Massimiliano Allegri tidak akan mengambil jawatan baru sehingga pertengahan 2020 tatkala bekas pengurus Juventus berkenaan terus dikaitkan dengan Bayern Munich dan Arsenal.

Allegri menganggur sejak berpisah selepas membantu Juventus meraih gelaran Serie A kelapan berturut-turut pada 2018-19 dan kelima di bawah bimbingannya.

Pengurus berusia 52 tahun itu -- yang sedang mempelajari bahasa Inggeris -- muncul sebagai sasaran beberapa kelab terbesar Eropah selepas juara Bundesliga, Bayern, memecat Niko Kovac manakala Arsenal pula menyingkirkan Unai Emery.

Begitupun, bekas jurulatih Milan itu berhasrat untuk menunggu sehingga akhir musim 2019-20 sebelum kembali ke bidang pengurusan.

"Pada Jun lalu, saya tidak pasti sama ada anda boleh menggelarnya sebagai rehat setahun," kata Allegri kepada ESPN FC ketika ditanya sama ada dia berhasrat untuk kembali ke bidang pengurusan.

"Giovanni (Branchini, ejen kepada Allegri) dan saya pantas mengambil keputusan itu. Sebaik sahaja hubungan dengan Juventus berakhir, kami memutuskan untuk berehat setahun."

Beliau menambah: "Tahun depan akan menjadi tahun yang penting. Adalah penting untuk saya membuat pilihan dan menjadi keperluan saya untuk membuat persediaan.

"Selepas setahun berehat dan lima tahun di Juventus, saya tidak mahu tergesa-gesa kembali ke kancah ini. Itulah yang bermain di kepala saya."

Mengenai pembelajaran bahasa Inggerisnya, Allegri, yang turut dikaitkan dengan gergasi Liga Perdana, Manchester United, berkata: "Saya sedang belajar di Milan, saya boleh bertutur dengan baik. Saya mendapati bahagian untuk mendengar percakapan agak sukar.

"Jika saya bercakap dengan seseorang yang membantu saya dengan bercakap sedikit lebih perlahan, maka saya boleh faham. Saya menonton filem (dalam bahasa Inggeris) dan jika saya membaca sesuatu dalam bahasa Inggeris, saya boleh memahaminya dengan baik."