Penjaga gol Liverpool, Alisson, akan terlepas aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Atletico Madrid tatkala dia memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk pulih daripada kecederaan pinggul, kata Jurgen Klopp.

Pemain Brazil itu tidak beraksi ketika Liverpool tewas 2-0 di tangan Chelsea, Selasa lalu, dan seperti dijangka, Adrian menggantikan tempatnya.

Klopp mendedahkan Alisson mengalami masalah ketika latihan sebelum kunjungan ke Stamford Bridge dan dia diketepikan untuk mengelak sebarang risiko.

Namun, selepas siasatan lanjut, kecederaan Alisson lebih besar daripada sangkaan awal.

Dia kini bakal terlepas aksi melayan kunjungan Atletico ke Anfield, di mana skuad kendalian Diego Simeone itu menang 1-0 dalam pertemuan pertama.

Ditanya mengenai kecederaan dan jika Jordan Henderson cergas untuk berdepan Atletico, Klopp berkata: "Ya, Henderson berpeluang tetapi bukan untuk aksi menentang Bournemouth malam ini.

"Xherdan Shaqiri juga tidak terlibat dan malangnya, Alisson terpaksa diketepikan. Dalam latihan sebelum menentang Chelsea, terdapat satu insiden.

"Pada awalnya, kami fikir ia tidak berisiko tetapi sehari kemudian, sesuatu dikenal pasti dan kini dia diketepikan. Kami akan lihat minggu depan.

"Ia melibatkan otot di pinggul. Media masih boleh bekerja dengan kecederaan itu tetapi tidak buat penjaga gol profesional. Itu situasi yang dialami."

Bagaimanapun, Klopp tidak menjangkakan pemain berusia 27 tahun itu akan direhatkan terlalu lama.

"Saya mengelak untuk bercakap tidak tetapi saya tidak tahu," ujar Klopp apabila ditanya jika Alisson kembali dalam pertemuan dengan Everton, 16 Mac nanti.

"Dia tidak boleh beraksi minggu depan. Kami harus melihat situasi itu. Saya boleh katakan, selepas tempoh rehat antarabangsa, dia akan cergas tetapi tidak tahu bila."