Alisson menunjukkan perkembangan positif dalam usaha untuk pulih daripada kecederaan betis, kata jurulatih penjaga gol Liverpool, John Achterberg.

Bintang Brazil itu terpaksa dikeluarkan dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris berdepan Norwich City sebelum skuad kendalian Jurgen Klopp itu menang 4-1.

Sejak itu, Adrian mengisi kekosongan tersebut dan The Reds masih mengekalkan rekod 100 peratus untuk berada di puncak liga, dua mata mengatasi juara bertahan, Manchester City, selepas empat perlawanan.

Tempoh rehat antarabangsa telah memberikan Alisson masa untuk beurusaha mendapatkan kecergasan tetapi Achterberg menegaskan penjaga gol itu tidak akan kembali dalam waktu terdekat.

"Dalam beberapa hari kebelakangan ini, dia berada di atas padang untuk melakukan beberapa sesi latihan," katanya kepada The Mirror.

"Dia melakukan perkembangan yang positif. Ia memerlukan masa dan kami tidak boleh memandang terlalu jauh, jadi kami lakukan hari ke hari dan melihat keadaannya sebelum meneruskan proses.

"Alisson telah bekerjasama dengan jurulatih pemulihan kecergasan, Dave Rydings, di dalam gimnasium untuk meningkatkan kekuatan serta cuba kembali ke tahap kecergasan terbaik."

Liverpool akan melayan kunjungan Newacastle United, Sabtu ini.