Jurgen Klopp mempertahankan Adrian selepas kesilapan penjaga gol itu pada minit-minit akhir permainan membuatkan Liverpool berdebar sebelum menang 2-1 ke atas Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris, semalam.

Sadio Mane dan Roberto Firmino menjaringkan gol bagi membolehkan juara Eropah itu menguasai aksi di St. Mary's tetapi The Saints mempamerkan kebangkitan di penghujung perlawanan.

Danny Ings menggunakan kesempatan hasil kesilapan Adrian ketika melakukan hantaran ke depan dan bekas penggempur The Reds itu kemudian terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan.

Adrian sebelum ini tidak pasti untuk diturunkan selepas mengalami kecederaan akibat perlanggaran dengan peminat ketika meraikan kemenangan Piala Super UEFA ke atas Chelsea.

Selepas Liverpool mengekalkan permulaan positif musim ini, Klopp menyamakan kesilapan Adrian itu dengan tindakan rakan sepasukannya, Alisson, yang melakukan perkara sama ketika berdepan Leicester City musim lalu.

"Adrian pastinya berfikir bahawa 'saya telah beraksi bagus seperti Alisson, jadi saya perlu lakukan kesilapan sama sepertinya'," katanya.

"Alisson juga melakukan perkara sama. Jelas sekali terdapat masalah penjaga gol di Liverpool tetapi tiada masalah sekiranya kami menang. Semuanya bagus.

"Adrian mengalami bengkak di bahagian buku lali dan kami banyak memberikan bola kepadanya. Saya gembira dengan apa yang dilakukannya, semua aksi tangkas menyelamatkan gawang.

"Pemain lain seharusnya berasa lebih bertanggungjawab ketika melakukan pergerakan dan tidak memberikan bola kepadanya sambil mengharapkan bantuan penahan sakit.

"Saya tidak fikir itu menjadi punca kepada jaringan tersebut tetapi berbeza dalam situasi lain. Dia jelas cemerlang menggunakan kakinya.

"Jika anda melihat buku lalinya Khamis lalu, pastinya anda katakan bahawa hantaran yang dilakukan ketika berdepan Southampton adalah yang terbaik berbanding apa yang anda jangkakan! Segalanya bagus."