Liverpool mengesahkan Alisson kini telah pulih daripada kecederaan pinggul yang menyebabkannya diketepikan ketika The Reds tewas di tangan Atletico Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di Anfield.

Selepas mengalami kecederaan ringan ketika latihan, penjaga gol itu terlepas aksi yang berkesudahan tewas 3-2 dalam masa tambahan sekali gus menamatkan kempen Liverpool di pentas Eropah.

Adrian mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain Brazil itu dan dua kesilapannya memberikan dua gol awal Marcos Llorente sehingga membantu kelab LaLiga itu mengesahkan kemenangan 4-2 dan slot suku akhir.

Ia merupakan aksi terakhir Liverpool di tempat lawan sebelum saingan ditangguhkan akibat wabak coronavirus walaupun Alisson semakin hampir pulih sebelum penangguhan itu.

"Alisson menghantar video, melakukan lompatan dan latihan," kata jurulatih penjaga gol, John Achterberg.

"Jelas sekali, kami berusaha untuknya sehingga penangguhan dan dia hampir cergas. Kini, dia perlu mengekalkannya dari rumah, sama seperti penjaga gol lain.

"Semua pemain menerima program daripada bahagian kecergasan, jadi mereka boleh menjalankan tugas dan berlatih dari rumah sekali gus mengekalkan kecergasan, sama seperti pemain lain."