Bekas penjaga gol, Alexander Doni, menyifatkan bintang Liverpool, Alisson, sebagai pemain terbaik dunia di posisi itu.

Doni mewakili skuad kebangsaan Brazil sewaktu bergelar pemain ketika menghabiskan tempoh enam tahun di Roma dan turut menyarung jersi Liverpool.

Dan individu berusia 39 tahun itu memberitahu laman web The Reds bahawa dia bukan sahaja teruja dengan persembahan Alisson, malah mencadangkan gergasi Inggeris itu mendapatkan khidmatnya.

Dari situ, Liverpool mengesan Alisson sebelum menjadikannya penjaga gol termahal dunia pada 2018.

"Apabila melihat dia beraksi, saya terus mencadangkannya kepada jurulatih penjaga gol, John Achterberg, dan cuba mendapatkan tandantangannya.

"Saya menerangkan kepada Achterberg bahawa Alisson merupakan pemain yang memiliki teknik tinggi dan dia bakal mewakili skuad kebangsaan.

"Pertama kali saya melihatnya mewakili Inter Milan, saya yakin dia tahu apa diperlukan untuk berjaya dalam Liga Perdana Inggeris."

Alisson menyertai Roma daripada Inter sebelum berhijrah ke Anfield tahun lalu dan dia membuktikan kehebatannya tatkala skuad kendalian Jurgen Klopp itu menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah serta menghambat Manchester City dalam perebutan Liga Perdana Inggeris.

Ditanya sama ada Alisson kini penjaga gol terbaik dunia, Doni menambah: "Ya, tanpa ragu-ragu.

"Saya sangat teruja melihatnya menyesuaikan diri dalam Liga Perdana Inggeris dengan pantas dan meraih kejayaan di England.

"Ia membuktikan kehebatannya. Selain menjadi pemain sempurna secara keseluruhan, saya suka melihatnya kekal tenang dan terkawal."