Jurgen Klopp dilabel sebagai "luar biasa" oleh Trent Alexander-Arnold, yang memuji sikap penyayang pengurus Liverpool itu.

Sejak melakukan penampilan pertamanya di bawah kendalian Klopp pada 2016, Alexander-Arnold berkembang untuk menjadi salah seorang tonggak utama Liverpool sepanjang tempoh tiga setengah musim ini.

Pemain berusia 21 tahun itu terlibat dalam kesemua perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini dengan skuad The Reds itu sedang mendahului carta dengan kelebihan 25 mata walaupun tiada sebarang perlawanan akan dilangsungkan di England sehingga hujung bulan ini berikutan pandemik Covid-19.

Ketika masih belum jelas sama ada saingan musim ini akan diteruskan atau sebaliknya, Alexander-Arnold memuji bekas ketua jurulatih Borussia Dortmund itu yang membawa Liverpool memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim lalu dan hanya dipisahkan dengan dua kemenangan untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris buat kali pertama musim ini.

"Luar biasa," kata Alexander-Arnold mengenai Klopp kepada GQ.

"Kesemua tentangnya dalam setiap cara. Cara pengurusannya, sebagai seorang lelaki, sebagai seorang pengurus, amat luar biasa."

"Ditanya sama ada sikap Klopp sama seperti yang terlihat ketika dirakamkan kamera, Alexander-Arnold menambah: "Dia orang yang sama kerana saya dapat rasakannya dalam kesemua temu bualnya.

"Apabila anda melihatnya di kamera, anda dapat melihat betapa dia seorang yang penyayang.

"Anda dapat melihat bahawa dia seorang yang menjaga orang disekelilingnya.

"Dia menjaga keluarganya, dia menjaga pemainnya dan dia menjaga pegawainya.

"Dia melayan semua orang dengan adil. Dia melayan kapten sama seperti dia melayan pemain muda.

"Orang mungkin berasakan yang dia terlalu beremosi.

"Tetapi dia tahu untuk mengawalnya bagi dimanfaatkan oleh orang di sekeliling.

"Dia tahu apa yang perlu diperkatakan, dia tahu intonasi yang perlu digunakan dan pada masa yang bertepatan," katanya.