Trent Alexander-Arnold mahu kekal bersama Liverpool sepanjang kariernya dan berharap dapat menjadi legenda kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pemain England itu menjadi tonggak utama The Reds dalam dua musim terakhir dan berada di kedudukan ke-19 anugerah Ballon d'Or.

Dia mengukuhkan kepentingannya dalam pasukan apabila menyumbat satu gol dan menyumbang dua bantuan jaringan ketika menewaskan Leicester City 4-0, sekali gus meletakkan Liverpool di landasan terbaik untuk meraih trofi Liga Perdana Inggeris.

Dia yang hadir daripada akademi kelab itu berhasrat untuk meletakkan namanya dalam sejarah Anfield.

"Saya sentiasa mahu menjadi legenda kelab," katanya.

"Memenangi kejuaraan, beraksi dalam banyak perlawanan, menang setiap aksi dan menjadi kapten.

"Sudah tentu saya tidak boleh menjadi legenda kelab jika saya meninggalkan Liverpool. Jadi, fokus saya adalah memastikan kelab ini sentiasa berjaya."

Alexander-Arnold kini mula taksub dengan pingat Liga Juara-Juara Eropah selepas beraksi 11 kali ketika The Reds muncul pemenang musim lalu.

Jurgen Klopp memberikan bek kanan itu penampilan pertama pada Oktober 2016 dan dia bersyukur diberikan peluang itu.

"Klopp sentiasa bercakap bagaimana untuk kami meningkat, apabila dilakukan untuk berada dalam pasukan dan cara untuk memastikan ia berlaku," tambahnya.

"Jelas sekali ia sesuatu yang ingin anda dengar sebagai seorang pemain muda. Anda perlu berasa bahawa pengurus memberikan peluang kepada anda.

"Anda tidak boleh meragui diri sendiri jika pengurus meminta anda melakukan sesuatu atau perbaiki untuk beraksi."


Editor: Nafis Abdullah