Tottenham Hotspur mengesahkan pemain pertahanan, Toby Alderweireld, telah mengambil langkah utama dalam pemulihan kecederaan hamstring.

Alderweireld tersisih sejak 1 November lalu dalam kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Real Madrid di Wembley.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Belgium itu mula bekerja keras minggu ini untuk kembali beraksi Februari depan.

Spurs memuat naik status dalam Twitter dengan menyatakan bahawa Alderweireld "sudah memulakan latihan di luar gelanggang tertutup untuk meneruskan pemulihannya".

Pemain berusia 28 tahun itu yang mungkin diamanahkan untuk mengekang Juventus dalam pusingan 16, sempat berkongsi perkhabaran kecergasannya di laman sosial Twitternya.

"Pemulihan berterusan," tulis Alderweireld, yang mempunyai baki kontrak selama satu setengah tahun lagi bersama Spurs.

Tottenham kini di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kekalahan 4-1 kepada Manchester City minggu lalu, dengan skuad kendalian Mauricio Pochettino itu akan melawat Burnley, esok.

Davinson Sanchez turut bergelut sejak 2 Disember lalu selepas kembali daripada larangan tiga perlawanan berikutan kad merah yang dikutipnya ketika berdepan Watford.