Alcantara bawa dimensi baru untuk Liverpool -- Klopp 

Oleh Shaiful Shamsudin 19 September 2020 584
Alcantara bawa dimensi baru untuk Liverpool -- Klopp 
Jurgen Klopp menggambarkan pemain baru Liverpool, Thiago Alcantara sebagai pemain "luar biasa" yang mengukuhkan lagi pasukan yang sudah sedia hebat.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada malam tadi mengesahkan telah memeterai perjanjian dengan pemain berusia 29 tahun itu daripada Bayern Munich dengan tanda harga £25 juta pound (RM132.8j). 

Thiago tiba di Anfield dengan mengikat kontrak selama empat tahun dengan pembayaran awal £20 juta (RM106.2j), selain potensi bonus £5j (RM26.5j). 

Pemain antarabangsa Sepanyol itu memainkan peranan penting ketika Bayern menjulang Bundesliga dan Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu, lantas Klopp berasa seronok mendapatkan khidmat pemain berbakat sepertinya dengan yuran rendah.

 
"Cukup sederhana: dia -- tiada siapa yang akan melihatnya dengan cara yang berbeza -- seorang pemain yang sangat luar biasa," kata pengendali itu dalam sidang akhbar.

"Adalah sukar untuk meningkatkan pasukan dengan cara yang normal. Sekali lagi, saya bukan tidak merujuk kepada mana-mana pasukan tetapi jika anda berbelanja £300j atau £400j maka mungkin kami mampu memburu pemain, itupun bukannya mudah.

"Dalam kes istimewa seperti ini, dia benar-benar membawa dimensi yang berbeza untuk corak permainan kami dan dia mempunyai beberapa kemahiran yang pada umumnya cukup jarang dan secocok dengan kami. Dia berbeza dan itulah yang saya sangat minati.

"Selain itu, dia cukup gembira dengan peluang ini dan tidak perlu diyakinkan lagi. Apabila pemain benar-benar ingin menjadi sebahagian daripada projek tertentu sehingga semua perkara bersatu, ia selalu membantu dan ia adalah situasi menang-menang. 
Saya sangat gembira dapat melakukannya."

Thiago belum bersedia untuk aksi EPL menentang Chelsea esok tetapi mungkin membuat kemunculan pertama bertemu Lincoln City dalam Piala Liga Inggeris (EFL), Khamis depan. 


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen