Aksi terbaik Liverpool -- Alexander-Arnold 

Oleh Penulis Jemputan 27 Disember 2019 953
Aksi terbaik Liverpool -- Alexander-Arnold 
LEICESTER 0 LIVERPOOL 4

Trent Alexander-Arnold berasakan Liverpool mempamerkan persembahan terbaik mereka setakat ini apabila mengatasi Leicester City 4-0 untuk mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan berkelebihan 13 mata.


Juara bertahan Liga Juara-Juara (UCL) dan Piala Dunia Kelab, Liverpool, semakin hampir untuk memenangi gelaran domestik selepas tiga dekad apabila mengatasi pencabar terdekat, The Foxes, di Stadium King Power awal pagi tadi.

Roberto Firmino menjaringkan dua gol, kedua-duanya hasil hantaran silang Alexander-Arnold, yang turut menemui sasaran sebelum kemenangan dilengkapkan oleh sepakan penalti James Milner.

Ia merupakan kemenangan ke-17 daripada 18 perlawanan EPL buat Liverpool dan Alexander-Arnold berasakan ia adalah kemenangan terbaik mereka.

"Kami bermain sangat baik, terutama selepas mengharungi perjalanan yang jauh," katanya kepada Amazon Prime.

"Ia merupakan persembahan terbaik kami bagi musim ini.

"Mendominasi hampir keseluruhan permainan dan tidak memberikan sebarang peluang kepada pasukan lawan dan menjaringkan empat gol adalah sesuatu yang membanggakan."

Walaupun Manchester City berpeluang untuk mengurangkan jurang jika mereka mengatasi Wolves hari ini, Liverpool masih lagi berkelebihan satu perlawanan dalam tangan ke atas juara bertahan itu.

Pada musim 1995-96, Newcastle United merupakan satu-satunya kelab dalam sejarah EPL yang memiliki kelebihan dua angka pada Hari Krismas dan gagal menjuarai liga.

Alexander-Arnold mengakui kelebihan yang dimiliki seakan-akan hampir tidak dapat dipercayai.

"Kami sangat gembira berada dalam kedudukan ini. Sememangnya kami tidak akan mengambil mudah dan saingan musim ini belum berakhir lagi.

"Kami akan terus berusaha dan menggunakan peluang dengan sebaik mungkin."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen