Persembahan Chelsea ketika tewas 4-0 di tangan Manchester United lebih membuatkan pengendali The Blues, Frank Lampard, teruja berbanding sewaktu diikat seri 1-1 di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Mason Mount memberikan permulaan memberangsangkan buat anak buah Lampard itu menerusi gol pembukaan tetapi mereka melepaskan pendahuluan itu menerusi aksi cemerlang James Maddison.

Wilfred Ndidi menanduk masuk gol penyamaan dalam babak kedua dan Chelsea terpaksa menanggung akibat melepaskan peluang awal tatkala mereka tampak lebih tajam sewaktu di Old Trafford, minggu lalu.

"Ia tentang keputusan. Agak pelik kerana persembahan sewaktu menentang United membuatkan saya lebih gembira walaupun tewas 4-0," katanya.

"Kami perlukan prestasi dan keputusan. Saya percaya kami memilikinya kerana kami mempunyai kualiti yang baik, jadi prestasi telah mula ditunjukkan.

"Terdapat detik di mana kami perlu lebih kukuh. Kami perlu memiliki pengurusan perlawanan.

"Jika sesuatu perlawanan tampak mudah -- dan lawan tidak menunjukkan reaksi hampir keseluruhan babak pertama, memberikan lebih penguasaan bola kepada kami dan menguasai perlawanan -- kami cukup bagus untuk tampil lebih baik. Itu sesuatu yang perlu kami perbaiki."

Stamford Bridge memberikan sambutan gemuruh buat legenda pasukan, Lampard, dan dia tahu pasukannya akan terus meningkat tatkala mereka sedang menjalani proses penggantungan perpindahan sambil kehilangan khidmat bintang utama, Eden Hazard, ke Real Madrid.

"Kami tahu dalam persekitaran kami, terdapat beberapa elemen yang sukar tahun ini," tambahnya.

"Kami tidak boleh mendapatkan pemain baru. Sebagai pengurus baru, saya tidak boleh dapatkan pemain yang mampu mengikut pemikiran saya.

"Kami kehilangan Hazard dan dia sangat penting buat kelab. Saya fikir semua orang faham dan akan bersabar tetapi saya tidak mahu gunakannya sebagai faktor utama.

"Kami boleh tampil lebih baik selama 60 minit dan kami akan lakukannya. Kami perlu lihat bagaimana permainan kami dalam babak pertama dan mengekalkannya kerana itulah cara pasukan yang sebenar. Kami perlu teruskannya."

Chelsea bakal berdepan Norwich City di laman lawan dalam aksi seterusnya, minggu depan.