Jack Wilshere mengakui menyaksikan Bournemouth berdepan Arsenal merupakan pengalaman paling pelik pernah dirasainya dan mendedahkan dia memilih untuk tidak bercakap dengan pemain The Gunners sebelum perlawanan bermula.

Wilshere, yang dipinjamkan kepada Bournemouth oleh Arsenal, sekadar menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton, Ahad lalu, dan mendapati pengalaman itu cukup aneh buat dirinya.

Ketika The Gunners membuka tirai jaringan, Wilshere mengakui dia tidak tahu bagaimana untuk memberi reaksi.

"Cukup pelik," Wilshere memberitahu Sky Sports.

"Ketika berjalan di dalam terowong, saya berkata kepada diri sendiri, 'Apa yang perlu saya lakukan? Adakah saya perlu bercakap dengan pemain Bournemouth terlebih dahulu?' Pada saya, itu tindakan yang betul kerana mereka merupakan rakan sepasukan saya ketika ini.

"Bagaimanapun, saya memilih untuk tidak bercakap dengan pemain Arsenal kerana pada saya itu juga tindakan yang betul."

Wilshere turut mengakui sering kali diajukan soalan oleh Danny Welbeck -- yang turut berada di tempat duduk penonton ekoran mengalami kecederaan -- pasukan manakah yang dia mengharapkan untuk menang.

"Welbeck bertanyakan kepada saya, 'Siapa yang kamu harapkan untuk menang?' Senario itu cukup aneh. Saya tidak pernah berada dalam situasi itu sebelum ini."