Pep Guardiola yakin penyerang Manchester City, Sergio Aguero, akan tetap menjadi pemain yang sama apabila kembali cergas daripada masalah kecederaan.

Pemain berusia 32 tahun itu hanya beraksi dalam 26 daripada 47 perlawanan sejak permulaan musim lalu gara-gara siri masalah kecergasan yang dihadapi pemain kebangsaan Argentina itu.

Dalam musim 2019-20, Aguero mengalami kecederaan pinggul dan lutut sehingga terpaksa diketepikan selama empat bulan selain terlepas aksi awal musim ini

Walaupun dia kembali beraksi pada Oktober lalu, Aguero kemudian kembali direhatkan susulan mengalami kecederaan paha dan satu lagi kecederaan lutut.

Aguero merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman City dan rekodnya dalam Liga Perdana Inggeris juga sangat baik -- sejak permulaan musim 2015-16, dia telah menjaringkan 102 gol dan hanya ketinggalan di berlakang Jamie Vardy (106) dan Harry Kane (126).

Di sebalik rekod jaringan itu, terdapat kegusaran mengenai masalah kecederaan Aguero yang akan mengakibatkan bekas penyerang Atletico Madrid itu hilang ketajamannya di depan gawang tetapi Guardiola tidak menganggapnya sebagai satu kerisauan.

"Dia akan kembali cergas, dia akan kembali menjadi pemain yang sama," kata Guardiola menjelang perlawanan menentang Fulham malam ini.

"Sudah pasti usianya tetap usianya, dia perlu kembali cergas dan akan memerlukan lebih masa berbanding (Phil) Foden atau Raheem (Sterling) kerana fizikal badannya amat berbeza tetapi saya optomis dia akan membantu pasukan dengan melakukan apa yang perlu dilakukannya musim ini.

"Untuk itu, dia tidak boleh berasa sakit di lututnya, kami sedang mengusahakannya dan hari ini, dia berasa jauh lebih baik.

"Apabila dia dapat berlatih untuk seminggu atau dua minggu dengan keadaan normal, dia akan kembali mendapatkan tahap terbaiknya dan nalurinya untuk menjaringkan gol amat unik buat pasukan ini.

"Kerana itu ia amat penting. Kami tidak boleh lupa bahawa kami sudah beraksi selama lima atau enam bulan tanpanya -- ia waktu yang panjang tanpa penyerang kami.

"Tetapi saya yakin memandangkan kami sudah banyak berusaha dan dia memberikan kerjasama, saya ada hubungan yang amat baik dengannya, lebih baik daripada sebelum ini.

"Saya menggemarinya dan kami mahukan dia kembali secepat mungkin untuk dirinya dan pasukan ini," katanya.

Aguero kini berada dalam tahun terakhir kontraknya bersama City dan terdapat perkhabaran bahawa dia mahu pulang ke Argentina selepas waktunya di Manchester berakhir.