Penyerang Manchester City, Sergio Aguero, gembira untuk melihat Lionel Messi berada bersamanya di Etihad, namun mengakui ia adalah satu perkara yang sukar untuk berlaku.

Spekulasi mengenai masa depan Messi bersama Barcelona terus memuncak apabila kontraknya kini memasuki tahun akhir.

Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu, beberapa kali menegaskan bahawa pembaharuan kontrak Messi telah pun dijalankan dan hanya menunggu masa untuk diumumkan tetapi sehingga kini tiada sebarang pengumuman dilakukan.

Aguero, yang merupakan rakan sepasukan Messi dalam pasukan kebangsaan Argentina, berasakan peluang untuk melihat Messi menyertainya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) agak tipis, walaupun jika ia melibatkan soal wang, pasti ia tidak menjadi masalah buat The Citizens.

"Wang bukan masalahnya tetapi saya rasa pemain seperti Messi, Cristiano Ronaldo (Real Madrid) adalah simbol bagi pasukan mereka dan sukar untuk membawa mereka keluar.

"Saya gembira untuk melihat Messi di City tetapi ia tampak sukar," kata Aguero kepada TyC Sport.

Dalam masa sama, penyerang berusia 29 tahun itu mungkin disenaraikan dalam aksi menentang Stoke City pada Sabtu ini, sambil membalas kritikan terhadapnya kerana ke Amsterdam ketika waktu cuti.

"Apabila seseorang pemain mempunyai cuti, kebanyakan mereka ke London, ada yang ke Itali dan Sepanyol.

"Saya bertuah kerana mengenali ejen kepada penyanyi Colombia, Maluma, dan dia memberi jemputan kepada saya. Saya mengalami kemalangan ketika mahu ke lapangan terbang.

"Saya masih belum pasti sama ada akan beraksi pada Sabtu ini tetapi hari ini saya berlatih seperti biasa," tambahnya.