Jurgen Klopp memuji sumbangan penjaga gol gantian, Adrian, dalam kemenangan bermakna Liverpool susulan menewaskan Brighton and Hove Albion 2-1 walaupun Alisson diperintah keluar padang lewat malam tadi.

Dua gol tandukan Virgil van Dijk meletakkan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu di landasan terbaik untuk meneruskan rentak kemenangan tetapi Liverpool diberi tamparan di Anfield selepas Alisson dilayangkan kad merah pada minit ke-76 kerana memegang bola di luar kotak penalti.

Sepakan percuma yang diraih lawan itu digunakan sebaik-baiknya oleh Lewis Dunk tatkala Adrian -- yang baru dibawa masuk -- terkeluar dari posisi dan sedang membina benteng pasukan.

Bagaimanapun, tuan rumah tetap meraih tiga mata -- sekali gus menyamai rekod tidak tewas yang dicatat mereka sebelum ini -- tatkala Adrian menafikan usaha Aaron Mooy serta tandukan lemah Pascal Gross.

"Saya pasti penjaring dua gol adalah pemain terbaik perlawanan tetapi bagi saya, Adrian layak menerimanya," kata Klopp.

"Ia disebabkan dia masuk dalam perlawanan sebegini dan melakukan dua aksi tangkas, salah satu daripadanya sangat hebat. Begitu juga dengan sepakan gol. Ia sukar kerana sesiapa yang melakukannya dalam keadaan badan tidak cukup panas, ia sukar.

"Kami patut tamatkannya dengan cara berbeza tetapi tidak bersedia dengan situasi itu, jadi saya gembira."

Mengulas mengenai jaringan Dunk, Klopp berkata: "Saya fikir jika anda benar-benar memiliki sifat kemanusiaan yang normal, anda tidak melakukannya.

"Ia sangat pintar daripada Brighton tetapi penjaga gol masuk, bina benteng, cuba untuk berkomunikasi dengan pemain dan mereka berusaha untuk menyesuaikan diri dalam tempoh beberapa saat.

"Pengadil membiarkan situasi itu. Dia gembira dengannya dan saya tidak boleh mengubah perkara itu tetapi bagi saya, ia 100 peratus betul."

Dalam masa sama, ketahanan Liverpool untuk tidak mencicirkan mata membuatkan Klopp berbesar hati.

"Pemain memberikan segala-galanya di atas padang. Saya sukakannya. Sukar dipercayai apabila melihat pemain sangat inginkan kemenangan dan ia menjadikannya sangat istimewa.

"Brighton adalah pasukan yang bagus. Mereka meraih banyak penguasaan. Kami perlu bekerja keras dan saya suka melihat pemain melakukannya dalam minggu yang getir."