Bekas pertahanan Arsenal, Tony Adams memuji corak permainan Aston Villa ketika merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Rabu.

Bagi Adams, pengendali Villa, Dean Smith melakukan persediaan yang baik buat pasukannya menangani Arsenal.

Kemenangan getir yang diraih Villa membolehkan kelab itu kini menduduki tangga ke-17 dengan 34 mata, hanya terpisah menerusi perbezaan jaringan dengan Watford di tangga ke-18 tetapi semakin menjarakkan diri dengan zon penyingkiran.

“Smith banyak melakukan latihan taktikal buat pasukannya sebaik memulakan persiapan untuk Projek Restart.

“Saya lihat apa yang berlaku pada Arsenal sama seperti ketika mereka tewas kepada Tottenham tempoh hari.

“Smith tampak berjaya menangani formasi 3-4-3 Arsenal seperti mana Jose Mourinho bersama Tottenham lakukan sebelum ini,” kata Adam ketika menjadi tetamu bersama Gary Stevens dalam siaran langsung aksi Villa-Arsenal di saluran CH813 Astro Supersport.



Dalam pada itu, Stevens melontarkan kerisauan terhadap Mesut Ozil apabila kelibat bekas pemain antarabangsa Jerman itu terus tidak kelihatan dalam skuad Arsenal ketika aksi di Villa Park.

Bekas pertahanan England di Piala Dunia 1986 ini turut mempersoalkan komitmen Ozil terhadap bola sepak.

“Saya tidak mahu menilai seseorang itu daripada segi luaran, tetapi apabila melihat Ozil saya tidak pasti sama ada dia masih cintakan bola sepak dan apakah dia masih mempunyai semangat tinggi untuk sukan itu atau tidak.

“Jika dia tidak lagi cintakan bola sepak,mungkin lebih baik dia tinggalkan saja sukan itu.

“Tetapi dia mempunyai kontrak yang dibayar gaji tinggi dan dia hanya kekal dalam pasukan kerana kontraknya.

“Jika tanya saya apakah saya mahu melihatnya kembali bermain, sudah pasti ya kerana dia pemain berbakat dan lihat saja pencapaiannya sebelum ini.

“Tetapi jika tanya saya bila Ozil akan bermain semula, secara jujur saya tidak tahu,” kata Stevens.