Alexis Sanchez sepatutnya dilepaskan oleh Arsenal sekiranya dia tidak lagi gembira bersama pasukan.

Perkara itu disuarakan oleh bekas kapten The Gunners, Tony Adams, selepas spekulasi bertiup kencang bintang Chile itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City ketika jendela perpindahan musim panas, Jun lalu.

Laporan pada minggu ini menunjukkan Arsenal bersedia untuk melepaskan pemain utamanya itu dan Adams berasakan pengurus pasukan, Arsene Wenger, tidak akan rugi jika melepaskan Sanchez.

"Kami mempunyai falsafah di Arsenal. Jika anda tidak mahu berada di kelab ini, anda boleh pergi. Kita akan berjabat tangan dan kami akan meraih wang perpindahan," kata Adams.

"Saya sentiasa sukakan prinsip ini. Jadi, jika Sanchez tidak lagi mahu berada di sini, lepaskannya dan cuba dapatkan pemain lain yang benar-benar mahu menyarung jersi Arsenal," sambungnya.

Adams memenangi empat kejuaraan liga dan tiga Piala FA ketika bergelar pemain di bawah bimbingan Wenger.