Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, percaya Liga Perdana Inggeris musim 2016-17 akan dimenangi dengan jumlah di antara 82 dan 86 mata.

The Gunners berada di kedudukan yang terbaik untuk mencabar takhta liga pada awal musim ini -- mereka kini berkongsi mata dengan pendahulu liga, Manchester City.

Leicester City menang musim lalu dengan 82 mata -- jumlah mata paling rendah sejak 2001 -- dan Wenger berkata gelaran takhta liga musim ini dapat dimenangi dengan jumlah mata yang sama.

Pengendali dari Perancis itu yakin Arsenal mampu menamatkan kemarau takhta liga mereka selepas kali terakhir mereka memenanginya pada musim 2003-04.

"Saingan liga sekarang sangat sengit kerana lima atau enam pasukan bersaing untuk memenanginya," kata Wenger.

"Liga Perdana Inggeris sudah berkembang dan ia merupakan liga yang paling kompetitif.

"Jika anda lihat selepas sembilan perlawanan, anda dapat lihat 20 mata yang berjaya dikumpulkan dan ini bermakna kejuaraan liga akan ditentukan di antara 82 dan 86 mata.

"Apa yang telah kita pelajari sejak awal musim adalah dalam setiap perlawanan, anda harus memberikan yang terbaik dan mencari peluang untuk memenanginya.

"Kami harus memberikan tumpuan kepada setiap aspek serta mempamerkan aksi yang mantap dalam setiap perlawanan.

"Saingan semakin sengit buat kami, penghujung bulan Oktober dan November amat penting buat kami kerana memiliki banyak perlawanan yang besar.

"Secara peribadi, saya percaya pasukan ini memiliki keinginan dan dahagakan kejayaan. Kami memiliki peluang yang cerah untuk menjulang gelaran Liga Perdana musim ini."