Frank Lampard berasakan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) harus dianjakkan bagi usim 2020-21 bagi kelab yang masih lagi bersaing di pentas Eropah.

Skuad Chelsea kendalian Lampard berdepan Bayern Munich dalam aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Sabtu ini, dengan harapan tipis untuk melangkah ke suku akhir apabila mereka berdepan lawan yang berkelebihan tiga jaringan.

Manchester City berdepan Real Madrid di Stadium Etihad dengan berkelebihan jaringan 2-1 menyaksikan mereka mampu layak terus beraksi mengejar aksi final di Lisbon 23 Ogos ini.

Manchester United dan Wolves masih lagi dalam saingan Liga Europa (UEL), yang bakal berakhir 21 Ogos ini di Cologne.

Lampard, yang bakal tanpa kehadiran kapten pasukan, Cesar Azpilicueta dan pemain sayap Christian Pulisic di Bayern selepas kedua-dua disahkan mengalami kecederaan hamstring ketika tewas 2-1 dalam aksi final Piala FA kepada Arsenal, percaya saingan EPL musim depan yang bakal bermula 12 September terlalu suntuk.

"Pemain-pemain perlu berehat daripada beraksi di tahap kualiti yang tinggi seperti saingan EPL," katanya.

"Walaupun mungkin kami tidak mampu mengatasi Bayern, 12 September masih lagi terlalu awal untuk kami untuk kembali beraksi.

"Pemain-pemain perlukan rehat, itu menjadi punca dua pemain kami mengalami kecederaan hamstring.

"Saya berharap pihak penganjur melihat secara serius perkara ini bagi memberikan permulaan yang adil buat musim hadapan."



Di sebalik musim yang kurang cemerlang baut Chelsea, Lampard tetap menghadirkan pujian buat pasukan, dengan Chelsea memastikan slot ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan di sebalik penggantungan daripada sebarang aktiviti dalam jendela perpindahan sebelum permulaan musim 2019-20.