Universiti Teknologi Mara (UiTM) komited untuk membantu sukan tempatan ke arah tahap berprestasi tinggi dengan mewujudkan satu makmal sukan yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya tahun depan.

Keperluan untuk mewujudkan makmal tersebut dilihat tepat memandangkan ramai graduan juga merupakan atlet yang bergiat aktif di pentas antarabangsa.

Makmal itu akan berperanan sebagai memantau prestasi atlet dari sudut akademik mahupun pencapaian selain menyokong keperluan pemakanan serta analisis terhadap perkembangan atlet.

Ketika ini di Malaysia, Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil serta Universiti Malaysia (UM) mempunyai makmal sedemikian.

"Inilah makmal kami yang mempunyai pemantauan saintifik atau dikenali sebagai pemantauan akademik.

"Ia memberi nilai tambah agar atlet mencapai prestasi yang lebih baik," ujar Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said, ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Insentif Atlet UiTM dalam Sukan SEA 2017 dan Sukan Universiti Dunia, malam tadi.

Sebanyak sembilan pingat emas, tujuh perak dan lapan gangsa adalah hasil yang dituai oleh 32 mahasiswa UiTM dan ganjaran bermula sebanyak RM500 sehingga RM1,000 diberikan kepada semua pemenang pingat.

"Saya diingatkan agar jangan leka dengan anugerah-anugerah dan insentif yang diterima.

"Walau apapun, kami haruslah terus berpijak di bumi nyata," ujar atlet menembak negara, Ezuan Nasir Khan.