Berakhir saingan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, kini tiada perancangan untuk membawa anak buahnya ke China bagi menjalani latihan dalam masa terdekat, sebaliknya kekal di tanah air bagi persediaan menghadapi Kejohanan Terjun Grand Prix di Kuala Lumpur, Oktober depan.

Zhuliang mahu barisan penerjun negara meraikan dahulu kejayaan di pentas Sukan SEA ini apabila diberi rehat lebih kurang satu minggu sebelum kembali memulakan latihan.

Cukup berpuas hati dengan fasiliti baru di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Zhuliang tiada masalah untuk anak buahnya terus berada di Malaysia menjalani latihan selepas sekian lama mereka berkampung di China.

Berkemungkinan besar barisan penerjun negara akan ke China semula selepas berakhir kejohanan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, seterusnya di Singapura dan Australia pada November.

"Latihan di China masih akan diteruskan kerana atlet perlu mempelajari terjunan dengan tahap kesukaran yang tinggi," katanya.

Berkaitan kecederaan baru yang dialami Nur Dhabitah Sabri tempoh hari, Zhuliang tidak menganggap itu sebagai satu masalah besar kerana keadaanya semakin baik selain mampu mempertaruhkan aksi dalam saingan GP Kuala Lumpur nanti.

"Keadaan Nur Dhabitah sangat baik, dia memiliki mentaliti yang cukup kuat. Dia seorang yang positif, seorang atlet yang baik.”