Penerjun negara, Pandelela Rinong, seperti dijangka meraih pingat emas dalam acara 10 meter platfom Sukan SEA Kuala Lumpur di Pusat Akuatik Nasional, sebentar tadi.

Selepas meraih pingat emas dalam acara berpasukan campuran ketika bergandingan dengan Gabriel Gilbert, kini Pandelela sekali turun mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi dua tahun lalu.

Ternyata saingan di Asia Tenggara bukan halangan buat Pandelela, yang mempamerkan terjunan kemas bagi mengumpul 341.65 mata, mengetepikan pencabar terdekat dari Singapura, Freida Lim (274.65 mata).

Seorang lagi penerjun negara, Kimberly Pong Qian Ping, yang beraksi menggantikan Nur Dhabitah Sabri kerana mengalami kecederaan, memenangi pingat gangsa.

"Saya rasa sangat gembira kerana dapat pertahankan emas ini, ia bukan senang nak dipertahankan," kata Pandelela selepas kemenangannya.

"Saya lebih tenang kali ini berbanding temasya lalu. Saya cukup gembira dengan pingat emas ini," kata penerjun dari Sarawak itu yang sudah menghabiskan acaranya dalam temasya kali ini.Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.