Penerjun negara, Cheong Jun Hoong, kini hanya mahu fokus kepada proses pemulihannya terhadap kecederaan belakang selepas berjaya menunaikan misi merangkul pingat emas acara 1 meter papan anjal.

Jun Hoong hanya menyertai satu acara di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kerana kecederaan belakang yang dialaminya masih dirasai.

Bagaimanapun, aksinya tidak mengecewakan walaupun beraksi dalam kesakitan untuk mengungguli acara itu dengan kutipan mata tertinggi 268.55, sekaligus meraih emas.

Juara dunia itu menganggap tugasnya sudah selesai dan kini hanya memerlukan masa untuk berehat bagi memastikan kecederaannya tidak menjadi lebih serius kerana sukar untuk pulih seperti sediakala.

"Saya akan memberikan tumpuan kepada proses pemulihan untuk kembali berada di tahap terbaik bagi menghadapi lebih banyak saingan pada masa akan datang," kata Jun Hoong.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.