Kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih, Yang Zhaliang, terhadap gandingan baru, Muhammad Syafiq Puteh dan Jasmine Lai, turut berhasil kerana mereka hanya sempat berlatih bersama kurang daripada sebulan untuk meraih emas acara 3 meter papan anjal seirama campuran, hari ini.

Syafiq-Jasmine memungut 284.94 mata untuk meraih emas, diekori oleh pasangan Singapura, Ashlee Tan Yi Xuan-Joshua James Chong (243.84 mata) dan di tempat ketiga, Vu Anh Duy-Ngo Phuong Mai dari Vietnam (234.45 mata).

Ini merupakan kali pertama acara ini dipertandingkan dalam Sukan SEA.

"Singapura memberikan saingan kepada kami, saya dan Jasmine baru sahaja melakukan latihan bersama sejak beberapa minggu lalu.

"Saya bersyukur kerana kami berjaya meraih emas," kata Syafiq.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.