Pandelela Rinong dan Gabriel Gilbert Daim menghadiahkan sebutir lagi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara terjun berpasukan yang baru diperkenalkan dalam temasya dwitahunan ini.

Atlet kelahiran Sabah, Gabriel, yang baru disenaraikan dalam skuad senior tahun ini, tidak berdepan masalah untuk bergandingan dengan Pandelela apabila merekodkan 345.40 mata di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Singapura melalui gandingan Freida Lim Shen-Jonathan Chan Fan menjadi pencabar terdekat apabila meraih perak dengan 335.55 mata sementara Thailand dengan gangsa (243.90 mata) menerusi Surincha Booranapol-Theerapat Siribon.

"Saya ada berasa sedikit gementar sebab selain pengalaman pertama kali beraksi dalam Sukan SEA, suasana di sini juga cukup meriah dengan kehadiran ramai penyokong tempatan," kata Gabriel, atlet berusia 16 tahun dari Kota Kinabalu.

"Bergandingan dengan Pandelela pula adalah sesuatu yang cukup membuatkan saya teruja," tambahnya yang baru sebulan digandingkan dengan Pandelela untuk acara itu.

Pandelela turut merakamkan pujian terhadap gandingannya itu: "Gabriel seorang penerjun muda berbakat dan mempunyai masa depan cukup cerah."

Ia adalah emas ketiga negara dalam acara terjun yang membuka tirai hari ini.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.