Jurulatih taekwondo negara, Rusfredy Petrus, menganggap pengorbanan yang dilakukan oleh anak buahnya, Rozaimi Rozali, tidak sia-sia selepas kejayaannya memperoleh pingat emas kyorugi bawah 68 kilogram lelaki, kelmarin.

Rozaimi menamatkan penantian selama lapan tahun buat skuad kyorugi untuk meraih emas selepas menewaskan pencabar dari Filipina, Arcen Alcantara, dalam pertarungan yang cukup sengit.

Rusfredy yang menaruh harapan tinggi kepada Rozaimi dalam pemburuan emas menjelaskan penyertaan anak didiknya itu dalam saingan Sukan SEA hampir tidak menjadi kenyataan selepas mengalami kecederaan patah tulang hidung ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia di Korea Selatan, Julai lalu.

Rozaimi juga menangguhkan pembelajarannya selama setahun semata-mata kerana mahu meletakkan fokus sepenuhnya kepada sesi latihan.

"Kita dah bagi dia tekanan dengan meletakkannya sebagai harapan emas. Dia menangguhkan pelajarannya selama setahun, jadi kemenangan ini memberikan dia satu lagi kebanggaan agar dia dapat memburu lebih lagi kejuaraan," ujar Rusfredy.

Dalam masa sama, Rusfredy menganggap persembahan yang dipamerkan oleh wakil negara dalam Sukan SEA kali ini dapat menjadi batu loncatan untuk mereka beraksi lebih baik dalam kejohanan lain selepas ini.

Selepas tiga hari pertandingan, skuad taekwondo negara sudah meraih tiga emas, dua perak serta tiga gangsa, sekaligus mencatatkan antara pencapaian terbaik pernah diraih dalam sejarah penyertaan temasya dwitahunan itu.

"Kami telah menunaikan janji untuk meraih tiga pingat emas. Ada empat lagi peserta yang akan beraksi (hari ini). Saya berharap kemenangan Rozaimi akan memberikan mereka pingat," tambahnya.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.