Hasrat skuad taekwondo negara untuk menambah koleksi pingat emas pada hari ketiga saingan acara itu tidak kesampaian, namun tetap dapat menghadiahkan gangsa menerusi Jasmin Nabilla Sukardi bagi acara kyorugi 53 kilogram.

Taekwondo menjadi acara tunggal yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selepas judo serta snuker dan billiard melabuhkan tirai saingan semalam.

Dalam saingan hari ketiga hari ini, A. Navin, Lian Pei Ying serta Jasmin turun membawa cabaran Malaysia. Namun, hanya Jasmin berjaya meneruskan kemaraan sehingga ke separuh akhir, berdepan dengan juara bertahan, Mariska Halinda, dari Indonesia bagi merebut tempat ke final.

Kelebihan fizikal serta pengalaman menjadi pemisah buat Mariska apabila dia dapat mengatasi asakan yang dilakukan oleh Jasmin, sekaligus menyaksikan Jasmin terpaksa akur dengan kekalahan 5-15 untuk meraih gangsa yang ketiga buat skuad taekwondo dalam saingan kali ini.

"Lawan agak sukar kerana dia memiliki ketinggian. Sebaik saya bermula, dia mula mengangkat kaki, jadi memang agak sukar tetapi sekurang-kurangnya saya berjaya mengutip mata,” ujar Jasmin.

Bagi jurulatih taekwondo negara, Rusfredy Petrus, dia berpuas hati dengan aksi anak buahnya meskipun tidak berjaya membutirkan emas.

"Persembahan mereka memuaskan, pihak lawan semuanya yang berpengalaman. Saya gembira dengan kemampuan mereka kerana telah melakukan yang terbaik," katanya.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.