Atlet lontar peluru negara, Ziyad Zolkifli, menganggap kemunculan semulanya sebagai kelahiran baru selepas era Adi Alifuddin, namun menolak sebarang perbandingan dengan rakan senegara yang juga dianggap sebagai mentornya itu.

Tidak dinafikan, nama Ziyad selaku pelontar peluru kebangsaan kini hampir menenggelamkan nama Adi yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.

Tegas Ziyad, walaupun dia tidak mahu wujud sebarang perbandingan di antaranya dan Adi, misinya adalah sama, iaitu memastikan kedudukan pertama adalah milik Malaysia.

"Saya anggap ini adalah kelahiran baru saya sebagai pelapisnya.

"Saya sekarang mewakili negara untuk Sukan SEA, ia adalah cabaran baru buat saya," ujarnya.

Tatkala acaranya bakal bermula seminggu lagi, Ziyad mengakui dia sedikit gementar apabila melihat atlet-atlet dari negara lain sudah mula membanjiri Kuala Lumpur.

Baginya, pengalaman kali pertama beraksi di laman sendiri dalam kejohanan besar pastinya memberikan kelainan di sepanjang tujuh tahun kariernya sebagai atlet negara.

"Saya berasa agak gementar kerana pencabar-pencabar lain.

"Setiap kali melihat aksi mereka, ia adalah motivasi buat saya untuk menjadi lebih bagus daripada mereka," tambah Ziyad.