Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memutuskan tidak akan mengumumkan secara rasmi barisan pemain negara sehingga hari pertandingan acara berkenaan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Perkara itu disahkan Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, sebagai strategi menjerat pasukan lawan, terutama seteru utama, Thailand.

Bukan kerana gerun dengan pihak lawan, Ismail menegaskan langkah itu diambil bagi mengelak lawan membuat analisis terhadap kekuatan Malaysia.

Skuad negara akan diwakili seramai 21 pemain lelaki dan lapan wanita bagi regu, kumpulan dan doubles serta 16 pemain chinlone.

"Kalau kita umum, bererti kita mendedahkan taktikal kepada pihak lawan. Mereka boleh tahu siapa regu pertama, siapa regu kedua kita. Ia tidak membantu, jadi saya tidak akan umum," katanya.

Sementara itu, Ismail menepis dakwaan Thailand yang mengatakan tuan rumah, Malaysia, bermain 'kotor' dalam temasya kali ini.

Beliau menegaskan Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA memiliki keistimewaan untuk menyertai lebih acara berbanding pasukan negara lain.

"Ini adalah keputusan ISTAF (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) dan telah pun menjadi amalan, kalau tidak silap sejak Sukan SEA Laos 2009.

"Saya rasa tidak adil membuat satu kenyataan yang menggambarkan negara kita tidak betul," katanya.