Jurulatih taekwondo negara, Rusfredy Tokan Petrus, menyahut cabaran menepati sasaran dua pingat emas daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan dalam masa sama perlu memenuhi permintaan tinggi Taekwondo Malaysia (WTF) yang menyasarkan empat emas dalam Sukan SEA.

Rusfredy mengambil alih tugasan selaku jurulatih skuad negara selepas saingan Sukan SEA Singapura 2015 yang berakhir hambar tanpa kilauan emas.

Dalam tempoh kurang dua tahun, sasaran yang diputuskan buat skuad taekwondo negara ibarat tuntutan besar buat Rusfredy, namun ia masih bersifat relevan buat bekas atlet kebangsaan ini.

"Persiapan bagi baki dua bulan ini, atlet kini memberikan tumpuan daripada segi psikologi dalam usaha mencapai sasaran yang telah ditetapkan kepada skuad taekwondo negara," kata Rusfredy.

Tidak meletakkan mana-mana atlet yang perlu menggalas sasaran yang ditetapkan, namun tumpuan sudah pasti terarah kepada empat prospek utama melibatkan A. Navin, Rozaimi Rozali, N. Thinagaran dan Jasmin Nabila.

"Mereka telah bertolak pada bulan awal lalu dan bakal menjalani perlawanan persahabatan berdepan atlet Korea Selatan untuk dijadikan penlaian sebelum menghadapi Sukan SEA."

Keempat-empat prospek ini berada di Korea Selatan bagi menjalani kem latihan ketika ini manakala Rusfredy bersama empat atlet yang lain akan menyusul 17 Jun depan.