Chef de mission (CDM) negara bagi Sukan SEA 2017, Datuk Marina Chin, menyifatkan kejayaan luar biasa mencapai sasaran lebih 111 pingat emas berpunca daripada prestasi semua jenis sukan.

Marina memuji sebahagian besar jenis sukan yang mampu menyumbangkan lebih emas daripada yang disasarkan sambil menjelaskan pencapaian meraih lebih 140 emas adalah sesuatu yang tidak pernah difikirkannya ketika dilantik menjadi CDM.

Beliau juga menambah kejayaan kontinjen negara kali ini adalah hasil perancangan rapi semua pihak, termasuk program Kita Juara yang dilancarkan pada September 2015.

"Bukan sahaja sasaran 111 tetapi jangkaan saya 120 emas juga telah diatasi. Ini hasil kerjasama yang sangat erat di antara jurulatih, atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan rakyat Malaysia," kata Marina.

Sementara itu, beberapa atlet turut melahirkan rasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada keluarga yang terlibat dalam menyumbangkan jumlah emas terbesar negara dalam Sukan SEA.

"Ini akan jadi memori yang tidak akan dilupakan kerana bertanding di tempat sendiri. Pencapaian ini adalah hadiah untuk rakyat malaysia sempena hari kemerdekaan," ujar atlet memanah compound negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh.

"Pada mulanya agak ragu-ragu untuk mencapai sasaran 111 emas tetapi Alhamdulilah sukan lain juga berjaya mengatasi sasaran yang dijangkakan," tambah pemain ragbi tujuh sepasukan negara, Muhd Firdaus Tarmizi.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.