Pemilihan atlet muda, Nur Dhabitah Sabri, untuk menyalakan obor Sukan SEA 2017 malam tadi menepati kriteria sebagai melambangkan kebangkitan legasi muda bagi memacu pentas dunia.

Gabungan kebudayaan setiap kaum turut membuktikan Malaysia sebuah negara yang memiliki identiti tersendiri -- antara keunikan upacara pembukaan temasya itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tidak menghairankan Dhabitah, 18 tahun, menjadi subjek paling penting dalam upacara pembukaan rasmi Sukan SEA yang berlangsung meriah dan gilang-gemilang.

Dengan kredibiliti selaku atlet muda Olimpik selain senyuman manis yang pernah menjadi viral di sekitar Sukan Olimpik Rio 2016, pemilihan Dhabitah ada relevannya.

Melanggar norma kebiasaan di mana nyalaan obor selalunya melibatkan legenda negara atau atlet yang lebih menyerlah di pentas antarabangsa, kelainan yang ditampilkan kali ini memiliki makna tersendiri betapa Malaysia tidak pernah putus dengan kemunculan atlet bertaraf dunia.

"Dia merupakan atlet masa depan," kata Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo.

Lebih menarik, bacaan ikrar yang diketuai atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh, yang menolak sebarang penyalahgunaan dadah terlarang sepanjang saingan Sukan SEA edisi ke-29 ini.

Pembukaan mengetengahkan ciri kebudayaan kaum yang terdapat di Malaysia selain gimik yang mampu membuatkan sesetengah penonton meremang bulu roma menerusi gabungan teknologi yang dianggap cukup berjaya.

"Kami telah bertungkus-lumus untuk menutup segala kelemahan, bahkan untuk membuat yang lebih baik lagi daripada segi penganjuran," kata Ketua Pegawai Operasi, Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC), Shaiful Subhan.

Malaysia, yang menjadi tuan rumah untuk temasya dwitahunan kali ini, mempunyai jumlah penglibatan atlet yang paling ramai (845) untuk edisi ini, dengan kontinjen negara diketuai oleh Datuk Marina Chin mempunyai misi untuk meraih 111 pingat emas.