Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) mengesahkan penyingkiran dua penembak senior, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Muslifah Zulkifli daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur.

NSAM memberikan tumpuan sepenuhnya kepada acara pistol dengan sasaran awal adalah empat emas.

"Pengguguran dilakukan kerana kami mengutamakan acara pistol dalam usaha untuk meraih pingat emas," kata Setiausaha Agung NSAM, Adam Tee Ching Huat.

Dalam pada itu, Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) mempertaruhkan tujuh atlet lelaki dan enam wanita yang diketuai Khairul Nizam Mohd Affendy dalam senarai akhir bagi kempen Kuala Lumpur 2017.

Pengurangan acara, bagaimanapun, memaksa MSA untuk merendahkan sasaran kepada lima emas berbanding kejayaan keseluruhan di Singapura, dua tahun lalu.

"Prestasi bukan masalah yang dihadapi tetapi mengenai acara yang dipertandingkan. Di Singapura, terdapat 21 acara dan kali ini, kami hanya mempunyai 14 acara," kata Setiausaha Agung MSA, Megat Fairuz Khairuddin.

Skuad sepak takraw pula hanya akan menanti selepas mesyuarat bersama Persekutuan Sepak Takraw Asia Tenggara (ASTAF) di Bangkok, Thailand 12 Jun ini sebelum mengumumkan sasaran bagi kempen Sukan SEA kali ini.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mahu memohon untuk memperoleh penambahan kuota atlet memandangkan Malaysia akan beraksi dalam semua lima acara dipertandingkan.

"Jika saya terpaksa mengharapkan seorang atlet untuk beraksi dalam acara beregu dan berpasukan, ia akan menjejaskan sasaran yang telah diletakkan. Saya berharap dapat menambah kuota atlet bagi sukan sepak takraw," kata Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail.