Penjaga gol hoki negara, S. Kumar, dan pemain tengah, Fitri Saari, terpaksa menolak tawaran untuk membuat penampilan sulung dalam Liga Oman, bulan depan demi memastikan Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Tiada yang lebih penting berbanding misi untuk negara dan itu merupakan pegangan pemain hoki negara berkenaan selepas mendapat tawaran beraksi dalam Liga Oman.

Skuad lelaki kebangsaaan berdepan tugas penting untuk meraih emas Sukan SEA, sekali gus menjadi pembakar semangat kepada pasukan wanita dan skuad hoki dalam dewan negara.

"Ketika terdapat waktu rehat daripada sebarang saingan hoki, kami menerima tawaran untuk beraksi dalam saingan di luar negara. Tetapi dengan jadual yang agak padat, tumpuan perlu diberikan kepada Malaysia," kata Kumar.

"Saya sangat gembira kerana terdapat peluang beraksi di luar negara tetapi sebarang keputusan perlu dilakukan melalui persatuan," kata Fitri.

Sukan hoki dijangka bakal menyumbang empat emas membabitkan acara padang dan dalam dewan.

Justeru, pihak pengurusan meminta pemain fokus terhadap misi negara dan melupakan tawaran lumayan liga asing buat seketika.

"Latihan kami agak padat dan setiap pemain komited dengan program yang telah disediakan," kata pengurus pasukan, Mohd Nasihan Nubli Ibrahim.