Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, melahirkan rasa puas hati selepas menyaksikan skuad bawah 22 tahun (B-22) negara menundukkan Brunei 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan A acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Beliau berkata skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu mampu melangkah lebih jauh dalam kempen kali ini berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.

"Tiga mata adalah tiga mata," kata Khairy sambil mengakui Malaysia sepatutnya meraih lebih banyak gol dalam perlawanan itu.

"Malaysia mampu melakar kemenangan dengan lebih banyak jaringan tetapi perkara biasa pemain negara masih lagi mencari sentuhan yang terbaik di atas padang."

Malaysia mendahului perlawanan hasil sepakan voli cantik Safawi Rasid pada minit keempat sebelum jaringan itu diimbangi gol pelawat menerusi Zulkhairy Hady Razali lapan minit kemudian.

Bagaimanapun, skuad muda negara mampu menarik nafas lega apabila tandukan Adam Nor Azlin pada minit ke-60 membawa kepada kemenangan tipis ini.

"Pasukan kita memang berpotensi untuk mara lebih jauh. Mereka banyak peluang di depan gol kecuali kekurangan sentuhan penyudah.

"Daripada kemenangan ini, mereka mampu menghasilkan momentum yang lebih untuk melakar kejayaan dalam perlawanan akan datang," tambah Khairy.

Malaysia akan berdepan Singapura untuk perlawanan kedua Rabu ini sementara Brunei membuat perhitungan dengan Myanmar, dua hari kemudian.

Sementara itu, aksi pada sebelah petang tadi menyaksikan pemenang pingat perak edisi 2015, Myanmar, menewaskan Singapura 2-0 hasil kedua-dua gol pemain lincahnya, Aung Thu.