Kehilangan individu penting dalam karier atlet lempar cakera, Irfan Shamsuddin, 10 hari sebelum bermulanya Sukan SEA Kuala Lumpur begitu terasa, dengan atlet itu menegaskan segala kejayaannya dalam temasya itu nanti adalah untuk abang iparnya, Allahyarham Husin Hassan.

Ketiadaan orang penting yang banyak memberi sokongan dalam pembabitannya sejak empat tahun lalu benar-benar membuatkan dia berubah air muka tatkala krew Nadi Arena cuba menyelami apa yang dirasainya ketika ini.

Ternyata, ia bukan ujian yang mudah tetapi dia sudah bersedia untuk merealisasikan kejayaannya dalam Sukan SEA biarpun tidak sempat disaksikan sendiri oleh abang iparnya itu.

"Saya terasa sangat kehilangannya.

"Saya akan buktikannya.

"Dia yang banyak mengeluarkan belanja untuk saya menyertai mana-mana kejohanan," ujarnya.

Irfan yang mengetuai bacaan ikrar ketika penyerahan Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini, bijak mengawal kesedihannya.

Kehilangan itu langsung tidak mengubah apa yang pernah dijanjikannya sebelum ini, iaitu menyumbang kilauan pingat emas untuk negara selain mahu memperbaharui rekod peribadinya sendiri.

"Setiap kali menyertai kejohanan, semestinya saya akan memberikan yang terbaik.

"Sebagaimana yang kita tahu, di sini adalah laman kita sendiri dan jangan memberi pihak lawan ambil tempat kita.

"Saya janji akan menyumbang satu emas manakala rekod baru sebagai bonus."