Sukan SEA: Atlet negara kian bersemangat

Oleh Staff Writer 10 Ogos 2017 99
Sukan SEA: Atlet negara kian bersemangat
Beberapa atlet negara menganggap perhimpunan akhir untuk Sukan SEA Ke-29 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini berjaya memupuk semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan mereka.

Atlet wushu, Diana Bong, pemain boling, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, dan atlet petanque, Muhd Hafizuddin Mat Daud, berasakan objektif utama program itu untuk mengenali antara satu sama lain tercapai.

"Saya rasa kehadiran ramai menyemarakkan semangat saya. Ia sangat bagus dan saya sangat menyukainya," kata Diana.

Syaidatul pula berkata: "Ini adalah satu program yang terbaik untuk semua, berkumpul beramai-ramai sebelum Sukan SEA. Ia menambahkan lagi semangat berpasukan."

"Apa yang saya sukakan di sini adalah semangat berpasukan kami semakin kuat dan teguh. Ia memberi motivasi kepada kami. Sekarang ini hubungan kami semakin erat sebagai satu pasukan," kata Hafizuddin. 

Perhimpunan itu turut menyaksikan penyerahan Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kepada kontinjen negara yang diketuai chef-de-mission (CDM), Datuk Marina Chin.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen