Skuad silat negara menghadiahkan dua lagi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menerusi Muhammad Faizul Mohd Nasir dan Siti Shazwana Ajak di Stadium Bukit Kiara, hari ini.

Faizul, yang beraksi dalam kelas putera B, tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Nguyen Dinh Tuan dari Vietnam, sekaligus mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi lalu.

Galang Tri Widaya Putra (Indonesia) dan Thammavongsa Bo (Laos) berkongsi pingat gangsa.

"Saya sudah nekad ini adalah emas terakhir dan penampilan terakhir saya dalam Sukan SEA. Sebelum lawan, saya sudah berniat saya mahu menyumbang emas pertama untuk hari ini. Jadi, saya buat yang terbaik untuk negara," kata Faizul.

Dalam saingan puteri kelas D pula, Siti Shazwana mengetepikan lawannya dari Thailand, Rewadee Damsri. Gangsa dikongsi oleh pesilat Indonesia, Sarah Tria Monita, dan Nurul Suhaili Mohamed Saiful dari Singapura.

Dalam saingan puteri kelas A, Nurul Annisa Mohd Sobri meraih gangsa. Pesilat Vietnam, Pham Thi Tuoi, meraih emas manakala perak dimenangi Atiq Shazwani dari Indonesia.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.