Skuad sepak takraw wanita negara gagal memulakan saingan acara quadrant dengan langkah kanan apabila tumpas kepada Laos dalam Sukan SEA Ke-29 di Stadium Tertutup Titiwangsa, sebentar tadi.

Gandingan Nurrashidah Abdul Rashid, Nurul Aqirah Mat Tahir, Nurul Izzatul Hikmah Zulkifli dan Emilia Eva Natasha sukar mengekalkan aksi konsisten berdepan lawan dan tewas 15-21, 21-13, 16-21.

Ketua pasukan negara, Nurul Izzatul, mengakui persefahaman mereka tidak begitu baik berdepan Laos dan bertekad untuk bangkit dalam aksi kedua menentang Indonesia.

"Kami tidak menghadapi sebarang masalah, cuma kurang persefahaman di dalam gelanggang adalah faktor kami gagal.

"Selepas tewas dalam perlawanan ini, kami perlu meraih kemenangan ke atas Indonesia. Ia misi wajib menang buat kami," katanya.

Sementara itu, jurulatih pasukan, Mohd Fikri Mohd Nor, turut mahu melihat kebangkitan anak buahnya berdepan Indonesia, petang ini.

"Dalam aksi bertemu Indonesia, pemain perlu memberikan yang terbaik untuk memastikan pingat dapat diraih," katanya.

Acara quadrant wanita menggunakan format liga sepusingan, dengan kedudukan pingat akan ditentukan menerusi kutipan mata terbanyak.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Gambar: Persatuan Sepaktakraw Malaysia - PSM