Skuad sepak takraw negara mudah dikalahkan Thailand 3-0 dalam acara doubles berpasukan lelaki Sukan SEA Ke-29 di Stadium Tertutup Titiwangsa, malam ini.

Beregu pertama negara, Amirul Zazwan dan Afifuddin Razali, memberi tentangan sengit kepada lawan tetapi terpaksa akur dengan kekalahan 21-18, 21-16.

Aidil Aiman dan Ahmad Aizat, yang membarisi beregu kedua, juga mudah ditumpaskan lawan 21-12, 21-12.

Dalam perlawanan terakhir, Suhairi Sulaiman dan Kamal Ishak yang turun selaku beregu ketiga cuba menunjukkan kebangkitan apabila memenangi set pertama 21-16.

Bagaimanapun, kekuatan Thailand sukar digugat untuk Malaysia tumpas dua set berikutnya, dengan keputusan penuh 16-21, 22-20, 21-17.

Terdahulu hari ini, pasukan kebangsaan memperolehi kemenangan pertama dalam acara doubles berpasukan apabila Kemboja mengambil keputusan menarik diri.

Untuk rekod, Thailand ialah juara bertahan dalam acara itu selepas memenanginya di Singapura dua tahun lalu.

Sementara itu, Myanmar memenangi pingat perak manakala gangsa milik Indonesia dan Singapura.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.